3 pelajar IPG menang anugerah
SEREMBAN 12 Okt. - Usaha memperhebatkan inovasi dalam memenuhi keperluan komuniti Islam diteruskan lagi oleh sekumpulan penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis melalui penghasilan rekaan 'tab mandi jenazah mudah alih'.
Rekaan inovatif itu dianggap sebagai transformasi ke arah memudahkan serta mempercepatkan proses pengurusan jenazah khususnya di kalangan umat Islam.
Ini kerana tab berkenaan yang dilengkapi ciri mudah alih dari segi saiz dan boleh dilipat membuatkan ia amat efisien untuk dibawa ke mana sahaja sekali gus mengatasi kelemahan tab mandi jenazah yang sedia ada.
Lebih membanggakan, rekaan kumpulan tersebut yang dianggotai Abu Bakar Ramsah, 22, Mohd. Afiq Azfar Zainuddin, 21, dan Muhd. Redzuan Muhammad, 21, itu terpilih sebagai penerima Anugerah Inovasi Islam 2010 kategori prasiswazah pada Ekspo Inovasi Islam (i-Inova'10) anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini baru-baru ini.
Menerusi rekaan itu juga, kumpulan itu turut berjaya memenangi kategori sains sosial dan komuniti pada ekspo tersebut.
Menurut ketua kumpulan projek berkenaan, Abu Bakar, idea untuk menghasilkan rekaan tersebut tercetus secara spontan apabila dia bersama ahli kumpulannya itu menyaksikan kesulitan yang dihadapi oleh umum dalam menguruskan jenazah.
''Idea ini tercetus apabila kami melihat terdapat beberapa kelemahan yang boleh diatasi terhadap penggunaan tab mandi sedia ada dalam proses menguruskan jenazah.
''Maka terlintas di fikiran kami untuk menghasilkan sebuah tab mandi yang lebih kecil dan efisien untuk digunakan umum," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Stadium Tertutup Nilai di sini baru-baru ini.
Katanya, model rekaan tersebut telah siap dihasilkan oleh ahli kumpulannya pada Februari lalu, di mana ia hanya menelan belanja sebanyak RM500.
Jelas Abu Bakar, rekaan kumpulannya itu memberikan beberapa kelebihan dan manfaat dalam memudahkan urusan menguruskan jenazah.
''Pertama, ia boleh dilipat dalam saiz yang lebih kecil dan ringan sekali gus ia mudah dibawa ke mana-mana selain ia mudah disimpan dan dibersihkan.
''Selain itu, tab ini juga membolehkan jenazah dikapan dengan mudah dan ia sememangnya sesuai untuk memandikan jenazah orang kurang upaya (OKU)," ujarnya.
Tambah Abu Bakar, rekaan tersebut turut dilengkapi dengan sistem saluran air yang baik di bahagian bawahnya yang bertujuan menyalurkan air basuhan jenazah dibuang dengan tertib tanpa sebarang lelehan.
Bagaimanapun katanya, ahli kumpulan itu kini berhadapan dengan masalah untuk mempatenkan rekaan tersebut sebelum ia dapat dikomersialkan ke pasaran tempatan mahupun antarabangsa berikutan kekangan modal.
''Sehingga kini kami masih tidak menerima sebarang bantuan modal atau dana dalam usaha kami untuk mempatenkan rekaan kami ini," katanya.
p/s : ini menjadi suatu kenangan yang amat bermakna...
No comments:
Post a Comment